Sejarah Gerakan Koperasi

 
Gerakan Koperasi yang pertama bermula sebelum Revolusi Industri di United Kingdom pada awal abad ke-19. Ianya diasaskan oleh sekumpulan pekerja miskin bangsa Inggeris kerana:
  • Kesengsaraan dan syarat kerja yang terlalu ketat
  • Gaji yang tidak mencukupi
  • Pengangguran yang meluas
  • Pengambilan untung berlebihan yang tidak terkawal
  • Pemalsuan dalam sukatan dan timbangan
  • Kadar kemiskinan yang tinggi
  • Kadar penyakit dan kematian yang kian meningkat
  • Kerahan kerja untuk kanak-kanak seusia 4 tahun
  • Suasana hidup yang menyeksakan
  • Bantahan yang dibuat tidak berkesan
Para pekerja yang tinggal di sebuah perkampungan kecil Inggeris, Rochdale merasakan bahawa mereka perlu bekerjasama. Pakatan 28 orang ini mulai menabung dan berjaya mengumpulkan sebanyak £28 untuk dijadikan modal. Tanggal 21 Disember 1844 menyaksikan titik permulaan gerakan koperasi dimana mereka membuka sebuah Kedai Koperasi di Toad Lane di Rochdale, Lancashire. Kedai Koperasi itu kian meningkat maju dan peristiwa ini kemudian diiktiraf sebagai tarikh bermulanya Gerakan Kerjasama Sedunia. Para pengasas tersebut kini dikenali sebagai Para Perintis Rochdale (The Rochdale Pioneers).

Para Perintis Rochdale

Kedai Koperasi yang diusahakan oleh Para Perintis Rochdale menjual barang-barang runcit seperti tepung, mentega, teh dan juga lilin, tetapi cara perniagaan mereka berbeza dari kedai-kedai runcit yang lain.
Mereka percaya bahawa perbuatan tidak jujur yang diamalkan oleh peniaga runcit lain pada ketika itu seperti membubuh kapur kedalam tepung dan mencampurkan daun-daun kering ke dalam teh harus dihapuskan. Mereka juga percaya bahawa pelanggan berhak mendapat layanan yang baik serta jujur, dan hasil daripada perniagaan itu dikongsi sama. Tidak hairanlah apabila pelanggan hilang kepercayaan pada pekedai-pekedai runcit yang lain dan bertumpu pada Kedai Koperasi.
Pelanggan-pelanggan Kedai Koperasi juga turut menjadi anggota Koperasi tersebut dan mereka juga mempunyai hak dalam perniagaan itu. Prinsip-prinsip yang diamalkan Koperasi itu adalah:
  • Keanggotaan terbuka dan sukerela
  • Kawalan demokrasi (satu anggota, satu undi)
  • Pembahagian keuntungan terhad
  • Dividen diberi mengikut jumlah pembelian anggotanya
  • Peruntukan pendidikan
  • Kerjasama antara Koperasi
  • Neutral terhadap fahaman politik dan kepercayaan agama masing-masing
  • Belian tunai sahaja
  • Barangan dan layanan yang baik dan berkualiti
Tidak lama kemudian, kedai-kedai koperasi mula muncul dan Para Perintis Rochdale mula mendapat perhatian antarabangsa. Walaupun ada kedai koperasi lain yang ditubuhkan lebih awal, tetapi kedai inilah yang paling berjaya dan menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain.
Prinsip-prinsip tersebut masih diterima dan menjadi asas sesebuah pertubuhan koperasi. Walaubagaimanapun, untuk mengekalkan relevansi, prinsip-prinsip tersebut diolah semula, sesuai dengan arus perubahan semasa.

0 comments:

Post a Comment

 
Free CSS Template by CSSHeaven.org TNB
Related Posts with Thumbnails